Seikhlas Kasih Sayang Yang Abadi

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. 
Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi 
keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah. 
 
Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. 
Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar 
melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah. 
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. 
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. 
Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk memandang lantai. 
 
"Baik, kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil 
mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku. 
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah 
tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!" 
 
Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, 
hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam, 
lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun air 
mata adik tak tumpah. 
 
Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu 
sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan 
kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" 
 
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya 
yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup 
tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang 
mencucuk-cucuk. 
 
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku 
yang takut berkata benar. 
Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu 
berkata, "Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!" 
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. 
 
Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan 
aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke 
sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran 
ke peringkat pra-universiti. 
 
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di 
ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita 
cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" 
"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak. "Di 
mana kita nak cari duit membiayai mereka?" 
 
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah 
dan ibu. "Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi!" 
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan 
merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. 
 
Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang 
mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis. 
"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana 
persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" 
 
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa 
keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala 
menyapu minyak pada pipinya yang bengkak. 
"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti." 
 
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia 
membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas 
pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat..... 
"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari 
kerja dan akan kirim wang buat akak." 
 
Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia 
cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk 
ayah. 
 
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada 
pemuda kampung tunggu kau kat luar!" 
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" 
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri 
dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut 
orang kampung, sebutlah adik yang datang!" 
 
Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa 
yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" 
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup 
tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas 
bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. 
 
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli 
apa orang lain kata." 
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. 
Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai 
gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." 
 
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya 
dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan. 
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. 
Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. 
"Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik." 
 
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka." 
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan. "Sakit 
ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. 
 
"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan 
serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. 
Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk 
bekerja keras." 
 
Apalagi...aku menangis seperti selalu. 
 
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan 
menawarkan jawatan pengurus kepada adik. 
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. 
"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada." 
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk. 
 
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan 
kesedihannya. 
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah 
tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, 
juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?" 
 
Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...."katanya lantas 
menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati. 
 
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke 
sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya 
memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada 
saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat 
kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar." 
 
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa 
saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya 
sampai bila-bila." 
 
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik 
sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan